Alhamdulillah dengan nikmat iman dan islam dapat lagi kita menghirup udara yang segar dan cuaca yang nyaman di malam awal tahun baru 1432H ini... Setiap kali tiba awal Muharam, kita akan teringat kepada satu peristiwa hijrah Rasulullah dari kota Makkah ke kota Madinah 14 abad yang silam. Peristiwa hijrah tersebut akhirnya menjadi titik tolak permulaan yang mengangkat Islam sebagai agama yang diredai Allah.
Sementara kita mengakhiri tahun 1431H ini dan menghadapi kedatangan tahun 1432H, sudah tentu amat wajar bagi setiap Muslim mengimbas kembali masa setahun yang telah berlalu itu untuk menilai bagaimana masa tersebut dihabiskan. Ia tentunya banyak meninggalkan seribu satu kenangan, sama ada yang manis mahupun yang pahit. Mungkin dalam setahun itu, kita banyak memperolehi kebaikan dan keuntungan, dan mungkin juga dalam masa yang sama kita juga melakukan keburukan dan mengalami kerugian, sama ada dari segi keduniaan mahupun ke akhiratan.
Dalam hal ini, Saidina Umar al-Khattab pernah berkata: Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Ungkapan ini memberi peringatan kepadakita betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai alat persiapan yang akan menetukan kejayaan di samping mengelakkan kita daripada penyesalan yang tiada penghujungnya.
Muhasabah diri ini juga bukan sahaja boleh membantu kita merancang masa depan yang lebih baik, malah ia akan menginsafkan kita akan betapa pentingnya perancangan rapi itu sendiri supaya dengannya kita dapat menghayati maksud firman Allah dalam surah al-Hasyr, ayat 18: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-nya) dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan); Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan.
Perlu diinsafi bahawa setiap Muslim tidak dapat mengetahui dengan pasti apakah corak masa depan yang bakal dilaluinya, apakah ia merupakan suatu detik gemilang dan kejayaan ataupun ia hanyalah merupakan satu detik pahit yang penuh dengan kegagalan dan kedukaan. Apakah setiap Muslim akan tetap terus beristiqamah dengan sinaran hidayah Allah ataupun dia akan tersungkur jatuh dalam kancah maksiat dan permainan tipu helah syaitan yang menyesatkan.
Dalam hal ini, apa yang pasti setiap Muslim hanya boleh merancang dan berusaha dengan pelbagai persiapan yang teliti dan rapi demi memastikan agar dia mampu terus bersedia menghadapi masa depan yang datang bersama berbagai-bagai cabaran, masa depan yang akan ditempuhi dengan aneka perubahan pesat yang berlaku di seluruh dunia. Hasilnya, dunia kini seolah-olah menjadi medan pertarungan sengit bagi menentukan seseorang atau sesuatu umat itu berjaya atau kecundang. Ada umat yang muncul dan berjaya dan ada pula umat yang tenggelam dan hancur. Ada manusia yang berjaya menjadi pemimpin dan apa pula manusia yang sanggup menjadi pak turut.
Walau apa pun natijah yang bakal diraih, namun masa depan itu tetap juga akan dihadapi. Oleh yang demikian, setiap Muslim seharusnya berbekalkan semangat juang tanpa mengenal penat lelah atau erti mengalah semasa menelusuri titian hidup ini. Inilah lumrah kehidupan yang telah difitrahkan oleh Allah sebagai medan perjuangan antara yang hak dengan yang batil, antara yang benar dengan yang palsu, adakalanya pihak yang benar dapat mengatasi pihak yang salah, kadangkala pihak yang salah dapat mengalahkan yang benar.
Perlu ditegaskan bahawa kalau pihak yang kalah itu menang, ia sama sekali tidak bererti kejahatan itu beradadi pihak yang benar, tetapi dalam banyak keadaan ia adalah kerana pihak yang jahat itu mempunyai kepimpinan dan sistem teratur yang membolehkannya meraih kemenangan. Dari segi yang lain, ada ketikanya pihak yang baik itu akan kecundang dalam perjuangannya. Ini kerana dalam banyak keadaan ia tidak diatur dan dirancang dengan baik serta tidak mendapat kepimpinan yang baik semasa menjayakan misinya itu. Bukankah Allah pernah berfirman maksudnya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkan ia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan (ingatlah) Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (Surah Ali ‘Imran, ayat 140)
Satu perkara yang perlu disedari oleh setiap Muslim ialah setahun yang berlalu bererti setahun pula umurnya telah bertambah. Semakin bertambah bilangan tahun yang berlalu pergi, semakin sedikit pula sisa-sisa hidupnya yang masih tertinggal. Apabila umur seseorang Muslim telah pun tamat, maka ajalmaut pun akan dapat menjemputnya. Pada ketika itu, tidak ada lagi peluang ke sekian kalinya untuk seseorang Muslim untuk mengumpul bekalan yang akan dibawa menghadap Allah kelak.
Oleh itu, setiap Muslim sewajibnya menginsafi diri semasa menjalani kehidupan dunia yang sementara ini dan janganlah hendaknya membazirkan waktu-waktu berharga terbuang dengan sia-sia. Ingatlah bahawa sehari yang terbuang bermakna kita telah membuang masa yang sangat berharga, umur yang berharga, masa muda yang berharga dan menghilangkan peluang untuk mendapat mata pencarian yang berharga, malahan bekalan akhirat yang berharga akan turut terbuang dan hilang.
Sikap membuang masa seharian dengan berpoya-poya, bersukaria, melepak dan berseronok tanpa mendatangkan hasil yang bermanfaat bererti suatu penderhakaan terhadap nikmat masa yang dikurniakan Allah. Malah hanya masa sahajalah satu aset yang sangat bernilai yang tersedia ada pada setiap manusia dalam hidup ini. Dalam hal ini, Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: Sesiapa yang menghabiskan masa hariannya tanpa ada hak yang dilaksanakannya, tanpa ada kewajipan yang ditunaikannya, tanpa ada kemuliaan yang dibinanya, tanpa ada kepujian yang diperolehinya, tanpa ada kebajikan yang dilakukannya, tanpa ada ilmu yang dipetiknya, maka sesungguhnya dia telah menderhakai masa hariannya itu.
note ibnusinaputra:Akhirnya, amat wajarlah setiap Muslim merenung dan bermuhasabah secara mendalam. Bak kata pepatah orang-orang tua “Sediakanlah payung sebelum hujan”. Maka sediakanlah bekal di dunia sebelum belayar ke alam akhirat yang abadi agar setiap daripada kita tidak menyesal di kemudian hari nanti.
2 ulasan:
ehhh,,,tahniah yer,,,ada blog diam2 je ekk,,, dh lama rasanya x idup dlm blog ni,,,ok2,,,akak akn sentiasa mengikuti perkembangn blog ni,,,gud2,,,gud2,,,hikhik,,
uiks sy diam2 ker..atcly bkn diam la kak blog nie dh lama juz dah lama x post enty terbaru,sjak akhir2 nie dtg smngt nak aktif semula dalam menulis hehehe...
Thanks cz sudi lawat blog sy yg xseberapa nie...
Nepe akak pun da blog jgk ker?
Post a Comment